BEBANAN HATI

April 5th, 2006

Mata-mata itu masih lagi memerhati gerak-gerinya. Mulut-mulut itu sudah tentu terus-terusan menceritakan tentang dirinya. Jelingan-jelingan itu sudah biasa sangat diterimanya. Sampai tak terlarat lagi nak menepis segala tohmahan itu. Apalah salahnya. Bukan pula suatu dosa. Tapi menyedarkan manusia yang meletakkan otak di kepala lutut bukanlah semudah mengatakannya.

Dia sudah jemu. Dia sudah bosan. Setiap kali melalui jalan itu, terpaksa diterimanya herdikan jiran-jiran. Lebih baik hidup di dalam hutan dari berjirankan manusia berhati batu. Sengaja dipekakkan telinganya setiap kali terpaksa menayangkan muka disitu. Bukan dia suka menggunakan jalan yang itu, tapi rumahnya yang agak terperosok ke dalam memaksa dia untuk menerima keadaan itu.

Alah! Kalau hendak dikata, anak Mak Limah itupun bukannya baik sangat. Bukan dia tak pernah jumpa budak Mira tu membonceng motorsikal dengan jantan dari bandar. Jantan yang baru dikenal sehari dua, sudah boleh diserahkan jiwa dan raga.

Anak Kak Intan pun sama. Umur baru setahun jagung, sudah mula menonton wayang dengan teman lelaki. Dia sendiri yang bertembung dengan kumpulan remaja itu. Bukan dia tak kenal gerak gaya si Nida yang berpura-pura tidak mengenalinya. Dari air muka, dia tahu Nida takut andai berita itu disampaikan kepada ibuya, Kak Intan. Maknyanya, memang kesalahan itu ternyata jelas di depan matanya.

Malas pula nak bercerita tentang budak si Karim anak Mak Senah tu. Kurang ajarnya bukan main lagi. Siapa yang mendidik anak sebegitu? Mentang-mentang dia tunggal lelaki. Apa diminta semuanya dapat. Dia ingat dia senang-senang nak pancing Shafinaz. Bila tak dapat, itu yang mula bercerita bukan-bukan tentang Finaz. Emaknya yang memang rabun itu, makin kabur ditabur kata-kata fitnah anaknya. Boleh juga dijadikan modal mengumpat.

Huh! Shafinaz mengeluh kecil.

Hari ini umpatan itu masih lagi berkisarkan tentang dirinya. Dia tahu dia tidak bertuah seperti Mira. Walaupun Mira kurang dua tahun umurnya dari dia, tapi Mira dapat kerja sebagai kerani di salah sebuah syarikat swasta di bandar. Dia juga tidak sebijak Nida yang bersekolah asrama. Dia hanya bersekolah kampung. Dan Karim, walaupun tidak bersekolah tinggi, namun dialah satu-satunya anak muda kampung itu yang bermotorsikal. Orang lain mana mampu. Setakat makan dan tidur dirumah, satu kampung tahu yang Karim hanya mengharapkan ihsan orang tuanya.

Shafinaz sedar, dia hanya mampu mendapat tempat sebagai seorang operator pengeluaran wanita yang terkemuka di kampungnya. Kerja yang di pandang hina. Kerja yang memerlukan tenaga berjam-jam, namun gajinya entah seberapa. Dia tahu itu. Malah dia lebih tahu tanggungjawab yang perlu dipikul untuk memelihara 6 adiknya yang lain. Ayah yang pergi tanpa petanda meninggalkan ibunya dan 7 anaknya itu memaksanya untuk memikul bebanan itu.

Jauh disudut hati, biarpun dia hanya mampu memberi sedikit pendapatan hasil titik peluhnya, dia gembira. Tak pernah pula disesalinya tkadir yang menimpa. Malah dia lebih bersyukur. Dugaan itu menjadikan dia lebih tabah, lebih bertanggungjawab terhadap keluarga dan lebih mensyukuri setiap rezeki kurniaan Ilahi.

Tapi mengapa masyarakat disitu tidak pernah cuba untuk memahami penderitaan yang dihadapi keluarganya. Jauh sekali untuk membantu. Dia tahu dia orang baru disitu. Walaupun baru, sudah hampir 10 tahun menetap disitu. Penerimaan orang kampung secara keseluruhannya baik tetapi masih terdapat segelintir kelompok yang masih menganggap keluarga mereka adalah orang asing yang tidak layak mendapatkan tempat dihati mereka.

Biarpun terkadang disudut hatinya begitu bungkam dengan keadaan itu, dibuangnya jauh-jauh perasaan kecewa itu. Pada Shafinaz, lambat laun pasti ada belas ihsan insan-insan itu. Namun, bertahun menanti, tiada juga sekalis simpati diterima. Tak apalah, kita bergantung pada rezeki Tuhan, bukan dari mereka. Ibu tercinta sering menyiram api kemarahan yang terkadang membuak dari sanubarinya. Diterimanya kata-kata penguat semangat.

Apa yang lebih penting, tanggungjawab untuk mengisi perut keluarganya. Untuk apa berbalah mengenai perkara yang tidak berfaedah. Biarlah mereka menabur fitnah, kelak penat mulut berbicara, terhenti jua segala tohmah. Berkali-kali dipujuknya hati yang kian membengkak.

Dia sudah biasa dengan keadaan itu, tetapi kali ini lirikan mata yang mengekori jejak langkahnya bukan seperti biasa. Ada bau-bau cemburu yang lebih menyinga kali ini. Apa pula topiknya? Masih lagi berkisar tentang dirinya? Sengaja dipercepatkan langkah kakinya. Biar cepat sampai ke rumah, biar senang hati nan gundah. Mungkin ibunya mengetahui punca jelingan mata itu kali ini.

Sampai dirumah, Shafinaz melihat ada beberapa buah kereta yang memenuhi halaman rumah. Siapa pula yang datang ramai-ramai ni? Dia bersoal sendiri. Perlahan dia mengatur langkah menuju ke pintu belakang rumah. Tak elok rasanya menganggu tetamu ibunya. Mungkin ada perkara penting yang dibincangkan.

Ada mata mengintainya dari atas rumah. Dia tidak mengendahkan apa yang dirasakannya. Di pintu dapur, Angah sudah menanti. Dengan senyum simpul yang menguntum dibibirnya. Shafinaz semakin tidak mengerti. Apa pula yang terjadi. Tak pernah pula ibu mengatakan apa-apa perkara yang menggembirakan.

Kak Long nak sembunyi dengan kami, ya? Angah mula memancing.

Apa pula Angah merepek ni, ngah ? Mana ada Kak Long nak sembunyi apa-apa. Jangan nak mengarutlah Ujar Shafinaz yang sememangnya tidak mengerti.

Alah! Kak Long saja nak ubah tajuk sambung Angah lagi.

Angah, Kak Long baru balik dari kerja ni, jangan nak main-main dengan Kak Long pulak. Apa halnya, cakap ajelah hati Shafinaz mula panas bila adiknya mula main tarik tali dengannya.

Ha! Dah balik pun kau Finaz, panjang umur kau. Tu ambil air tu, pergi hidangkan kat depan. Mereka semua memang menunggukan kau ujar ibunya yang baru muncul.

Tanpa banyak soal, Shafinaz mengangkat hidangan air yang sudahpun disediakan oleh Angah. Bukannya susah sangat. Angkat, letak dan balik. Itu sahaja dalam fikirannya. Tapi kenapa pula ibu mengatakan tetamu semua menantikan aku? Ligat fikirannya memikirkan jawapan bagi persoalan yang timbul.

Perlahan diletakkannya hidangan tersebut di meja. Sedikit pun tidak diangkat mukanya. Terdengar juga bisikan demi bisikan yang tidak diketahui biji butirnya. Takanlah tetamu hendak mencerca tuan rumah. Tak apalah. Itu bukan urusannya. Sewaktu dia mula memalingkan badannya untuk kembali ke dapur, terdengar suara-suara membalas antara satu sama lain.

Pandai anak bujang kami ni memilih pasangan suara yang mula-mula dapat didengarinya.

Elok orangnya satu suara lain menyambutnya.

Dia kaget. Apa pula perihalnya kali ini. Segera dipercepatkan langkah kepada Angah. Tentu Angah ada mengetahui sesuatu yang tidak ketahuinya.

Hehe! Kak Long takkan tak tahu? ujar Angah yang sengaja mempermainkan perasaannya.

Angah jangan main-main la. Cakap la cepat Shafinaz tidak dapat menahan lagi. Dipegangnya tangan Angah seerat yang boleh. Dia tahu Angah akan melarikan diri semata-mata untuk tidak menceritakan hal yang sebenarnya.

Ok, Ok. Kak Long janganlah pegang kuat sangat, Angah bagitau lah ni Shafinaz mula melonggarkan cengkaman yang mengikat adiknya. Pantas Angah memboloskan dirinya dari Shafinaz. Tambah panas hati Shafinaz. Tapi tak sanggup pula mengejar Angah. Nanti apa pula kata tetamu. Anak dara berkejar-kejaran. Dia menanti kepulangan Angah dimuka pintu. Jaga kau, Ngah.

Finaz, tetamu nak balik tu. Pergi keluar bersalam dengan mereka, ya nak? Ibunya memberi arahan dengan lembut. Shafinaz akur. Perlahan dia menuju ke depan. Bersalaman dengan kumpulan perempuan yang datang. Berdegup juga jantungnya. Entah apa pula kali ini. Tetapi, syukurlah, sehingga kumpulan yang datang itu meninggalkan rumahnya, tiada apa pula yang menerjah ke corong telinganya.

Malam itu, ibunya memanggil Shafinaz sendirian. Ada perkara penting mungkin. Adakah berkenaan kumpulan tetamu yang datang tadi? Entah, dia sendiri tidak tahu.

Finaz, ibu harap Finaz tak terperanjat dengan berita yang ibu nak beritahu ini. Tetamu kita tadi datang berhajat besar. Mereka hendak menyatukan kau dengan anak mereka, nak

Tersentak Shafinaz dibuatnya. Terdiam dia seketika. Tak sangka pula kedatangan tetamu yang tidak dikenali itu membawa maksud yang tidak pernah diduga.

Tapi siapa mereka itu, bu? Shafinaz menyoal lembut. Dia tidak mahu menerima peminangan itu tanpa mengetahui latar belakang bakal suaminya.

Mereka kata, Finaz sendiri kenal dengan lelaki itu jawab ibunya.

Finaz kenal? Tak adalah. Seingat Finaz, Finaz tak ada kenal atau rapat dengan mana-mana lelaki pun Shafinaz cuba menyelamatkan dirinya. Bukan tidak ada kawan-kawan di kilang yang memberikan gosip itu padanya. Tapi, setakat gosip, takkan sampai ke jinjang pelamin.

Entah, kata mereka namanya Zulkarnain. Kerja setempat dengan Finaz pulak tu. Takkan Finaz tak kenal? Ibu tengok keluarga mereka itu dari orang baik-baik nak, apa salahnya..?

Zulkarnain? Lelaki itu? Gosip-gosip itu? Dalam ketidak sedarannya, Shafinaz menguntum senyum. Ibunya yang bagai mengerti perasaan anaknya, meninggalkan Shafinaz sendirian. Dalam hatinya berbunga riang, dia pasti anaknya akan gembira dan bahagia. Setidak-tidaknya, lepas tanggungjawab sebagai seorang ibu bagi memastikan anaknya selamat diijabkabulkan.

Sepanjang malam itu, Shafinaz bersoal sendiri. Patutkah dia menerima lamaran itu? Bagaimana pula tanggapan orang yang sentiasa iri hati terhadapnya? Siapa sangka insan yang sering di herdik ini, insan yang selalu di hina ini, insan yang dianggap berdosa hanya kerana bekerja kilang mendapat pinangan dari seorang lelaki yang berpangkat jurutera di kilang sendiri. Akan hilangkah tohmahan itu? Akan berkurangkah cercaan itu? Atau?

Dia tidak sanggup menggambarkan keadaan yagn akan berlaku andai dia menerima lamaran itu. Setakat dia sahaja menerima rangkaian fitnah itu, dia tak kesah. Tapi, andai berlanjutan kepada suaminya nanti, bukankah susah. Dia menjadi punca cercaan itu. Dia menjadi sebab hinaan itu. Dia tidak sanggup. Tidak sanggup menyusahkan orang lain hanya kerana takdir hidupnya yang sebegitu.

Pagi itu, sewaktu bersiap untuk ke tempat kerja, Shafinaz menemui ibunya. Dia sudah fikir semasak-masaknya. Dia sudah timbang sedalam-dalamnya. Rasanya, tanggungjawab pada keluarganya lebih memerlukan dia sebagai anak sulung. Biarpun dia pasti tidak akan melupakan tanggungjawab itu walaupun sudah berumahtangga, tapi selagi ada kudratnya, biarlah dia memegang amanah itu.

Ibunya hanya mendiamkan diri. Anaknya ini sudah dewasa. Sudah pandai membuat keputusan sendiri. Tidak enak jika masih mengikut perintahnya. Tak tahu pula bagaimana untuk mengubah pendirian itu. Kenapa dia masih merasakan bebanan ini sebagai tanggungjawabnya? Dia sepatutnya sudah bahagia dengan jalannya sendiri, namun kerana ibunya ini tidak mampu memberi yang secukupnya, Shafinaz terpaksa menanggung segalanya.

Bergenang air mata dipipi ibunya yang merasakan dirinya bersalah. Meletakkan anak sulungnya dalam keadaan tertekan. Entahlah. Tidak dapat tidak, dia hanya perlu berdoa sehingga anaknya itu berubah hati. Moga ada rezekimu sepanjang jalan yang kau pilih, nak.

Di tempat kerja, Shafinaz mula melarikan diri dari bayangan Zulkarnain. Bukan dia tak sukakan lelaki itu, tapi keadaan memaksa dia untuk menolak utusan kasih insan itu. Dia tahu Zulkarnain ikhlas. Dia tahu Zulkarnain jujur. Namun, untuk menidakkan hak lelaki itu dalam masyarakatnya, dalam dunianya, dia tidak sanggup. Itupun kerana kasihnya, kerana sayangnya. Kasih yang tak pernah dilunaskan. Sayang yang tak pernah ditunjukkan.

Hujung minggu itu, dia menerima satu panggilan telefon. Suara lelaki, bisik Uda sewaktu memberikan ganggang telefon itu kepadanya.

Hello! Shafinaz suara itu memulakan bicara.

Ya, siapa disana? soalnya pula.

Finaz tak perlu tahu siapa saya, boleh kita jumpa di bandar, di stesen bas? Saya tunggu awak pukul 2 petang nanti, ye?

Tup! Ganggang telefon diletakkan. Tak sempat Shafinaz bersuara. Tak sempat juga untuk bertanya bagaimana untuk mengenali si pemanggil. Tapi, oleh kerana panggilan itu dibuat seakan ada hal penting yang hendak disampaikan, Shafinaz terpaksa menurut. Pukul 2 petang? Mujurlah dia tidak terikat pada apa-apa aktiviti hari itu. Nasib baik timingdia betul, Shafinaz berbisik sendiri.

Hai! Shafinaz suara yang sama didengarnya dalam telefon tadi. Pantas dia memalingkan muka.

Zulkarnain? Kaget Shafinaz seketika. Tak tahu apa yang harus dilafazkan.

Saya ada hal sebenarnya nak bincang dengan Shafinaz. Mari masuk kereta saya, kita cari tempat yang sesuai pinta Zulkarnain.

Shafinaz hanya menurut. Dia mati akal. Hendak dimarah, tak bersebab. Dia bagai terpukau dengan keadaan yang sedang dialaminya. Sepanjang perjalanan, dia hanya mendiamkan diri. Rasanya, tak ada apa yang perlu diperkatakan. Proton Wira Aeroback itu meluncur laju melewati tempat yang jarang dikunjunginya. Dia tidak ada masa untuk bersantai dan membuang masa ditempat-tempat yang tidak biasa bagi dirinya. Dia lebih rela duduk dirumah, membantu ibu dan adik-adiknya.

Zul rasa Zul tahu kenapa Finaz banyak melarikan diri dari Zul Zulkarnain memulakan bicara sebaik sahaja keretanya dihentikan di kawasan berbukit yang mempunyai pemandangan indah. Shafinaz terus mematikan diri. Menjawab tidak, menyoal pun tidak.

Mungkin Finaz terkejut kerana Zul tak beritahu apa-apa, tapi terus hantar rombongan ke rumah Finaz Zulkarnain terhenti seketika. Dia menarik nafas panjang.

Zul tahu Zul bersalah dalam hal ini, tapi takkanlah hanya kerana itu maka Finaz menjadikannya alasan untuk tidak menerima Zul dalam hidup Finaz? persoalan yang sukar untuk dijawab. Shafinaz berkira sendiri. Perlukah dia menjawab atau sekadar membiarkan soalan itu begitu. Ditelan angin lalu. Lama Zulkarnain terdiam. Pastinya dia menantikan jawapan dari mulut Shafinaz.

Kita tak setaraf pendek jawapan Shafinaz.

Nonsense! Kita bukan hidup zaman P. Ramlee. Ini bukan cerita antara dua darjat. Kalau kita tak setaraf, kenapa famili Zul boleh terima Finaz dengan baik? Itu bukan alasannya. Zul tahu, Finaz bukan orang yang berfikiran begitu. Tentu ada sebab lain Zulkarnain begitu keras mematikan buah fikiran Shafinaz. Tak logik, padanya.

Finaz ada tanggungjawab pada family Finaz alasan kedua yang diberikan.

Kalau Finaz ada tanggungjawab pada family, apa salahnya jika kita kongsi ikatan itu bersama. Tentu berat menanggungnya seorang diri, jadi Zul rela membantu Finaz memegang tanggungjawab itu. Adakah begitu sukar bagi Finaz memberi kepercayaan kepada Zul untuk sama-sama menjaga family Finaz? Family yang bakal menjadi family Zul? Zulkarnain cuba membuka minda Shafinaz yang ingin memberikan peluang itu kepadanya.

Mata Shafinaz mula bergenang dengan air jernih. Memang tak dapat dinafikan, ada seperkara lagi yang meruntun hatinya, membebankan mindanya. Bagaimana harus diluahkan kesengsaraan yang berakar umbi? Jauh disudut hati, dia terlalu menyayangi insan itu. Dan kerana itulah dia tidak sanggup menjadikan lelaki itu mangsa keadaan.

Melihat keadaan Shafinaz begitu, Zulkarnain mula dipalu pelbagai rasa. Tak sanggup baginya melihat gadis itu mengalirkan air mata. Apa dia tersilap katakah? Atau masih ada sesuatu yang menghalang perhubungan suci ini dari terjalin. Dia terus menanti kata putus dari Shafinaz. Sudah puas dia menyampaikan hujah setiap kali Shafinaz memberikan alasan. Adakah kali ini, alasannya merupakan sesuatu yang begitu payah diterima akal? Entah, hanya Shafinaz yang mampu meleraikan kekusutan itu.

Zul, maafkan Finaz. Sebenarnya Finaz sayangkan Zul, tapi… terhenti seketika. Perlahan Shafinaz menyapu manik jernih yang mula membasahi pipinya.

Tapi Finaz tak sanggup mendera Zul dengan membawa Zul masuk dalam hidup Finaz Apa pula maksud tersirat dari Shafinaz? Zulkarnain terus menunggu.

Finaz sering dihina, sering dicerca. Finaz tak sanggup melibatkan Zul dalam hal ini apabila kita hidup bersama kelak terpancul juga persoalan yang membebankan hati dari mulutnya.

Dengar sini Finaz, cuba beritahu Zul, siapa yang menghina Finaz? Dan mengapa mereka menghina Finaz? lembut Zulkarnain cuba memujuk hati yang lama menanggung sengsara itu.

Masyarakat sekeliling. Mereka sentiasa mengherdik Finaz, hanya kerana Finaz seorang pekerja kilang. Finaz tidak setanding anak-anak mereka. Finaz tidak sehebat saudara-mara mereka ujar Finaz. Sendunya mula berkurangan. Mungkin terasa ringan sedikit bebanan yang ditanggung setelah meluahkannya pada orang yang disayangi.

Lama juga Zulkarnain terdiam. Fikirannya ligat memikirkan masalah yang menimpa. Bukannya mudah untuk mengubah pemikiran sekelompok masyarakat sebegitu. Patutlah sukar benar untuk Finaz meluahkannya. Ada perkara yang membenam di lubuk hatinya. Akhirnya, Zulkarnain hanya mampu menyerah kalah pada keadaan itu. Dia tahu dia tidak dapat mengubah orang kampung, tapi apa yang dia mampu…

Finaz, lepas kahwin, kita pindah ke tempat lain ya? ujar Zulkarnain.

Bulat mata Shafinaz memandangnya. Bagai tidak percaya kata-kata itu yang keluar dari mulut insan itu. Tapi, ada sesuatu yang menghalang.

Bagaimana pula dengan ibu dan adik-adik Finaz? tanggungjawab yang belum tertunai.

Tak apa, kita semua pindah. Tinggalkan tempat ini. Membina hidup baru. Bersama ibu dan adik-adik Finaz sekali ada nada ikhlas dalam pertuturan lelaki itu.

Shafinaz sudah mampu mengukir senyum. Dia tahu lelaki itu tidak akan melukakan hatinya. Dia yakin insan itu benar-benar mahu membantu.

Kalau begitu, sudikah Finaz menerima lamaran dari Zul? Zulkarnain menyedarkannya dair lamunan.

Dalam kegembiraan itu, Shafinaz menganggukkan kepalanya. Kali ini dia yakin, tiada lagi bebanan hati yang ditanggung. Tiada lagi persoalan yang belum terjawab. Dan dia pasti, kebahagiaan pasti menjadi miliknya yang abadi.

Long Lost Cerpen…

April 3rd, 2006

Hurm.. tadi aku balik umah sat.. dok cari sijil sijil untuk buat salinan dan di cop.. biasa la.. orang dok sebok nak cari kerja nih.. time ni la baru nak memeningkan kepala hotak.. time duit dah di hujung tanduk.. hehehe.. bulan 6 ni jadilah aku penganggur terhormat.. duit tak dak.. apa tak dak.. nak makan ape?.. megi aje lee…

Di pendekkan cite.. tengah dok cari cari sijil sijil yang mungkin ada yang aku dah fotostat.. aku terjumpa balik cerpen yang suatu masa dulu.. aku tulis.. kekonon time tu berhajat beso nak anto kat majalan ke.. kat sokabo ke.. biasala.. nak jadi Usman Awang..

Oleh sebab tade softcopy.. aku ada hardcopy je.. aku salin balik kat blog eh.. nak bagi korang baca.. pastu bagi la komen.. kurang kurang menguatkan semangat aku balik untuk menulis.. dah lama tak asah bakat sebenarnya..

Ini pon.. kalau tak silap aku.. aku dok tulis masa aku matrik 2.. sebab banyak cite cite tu.. waktu kenangan aku masa matrik 1.. kalau tak silap la.. masa matrik 2 atau masa first year kat usm nih.. gitu gitu la time dia..

Sudi sudikanlah baca.. ada 5 cerpen semuanya.. aku bagi ikut tajuk yang akan korang jumpa..

1) Bebanan Hati

2) Boneka Hidup

3) Dia Bukan Milikku

4) Rahsia Hidup

5) Batin Yang Tersiksa

Ok.. ready?.. hehehe.. kalau sudi baca.. dan bagi komen eh.. atau ada idea tentang cite korang yang nak aku garap kembali menjadi sebuah cerpen.. cewahhh.. macam sasterawan negara.. hehehe.. tak jadi gitu.. jadi angkasawan negara pon cukup lahhhh.. huhu..

Ok.. dah.. baca ah ek.. ada 5 tau.. enjoy!!!…