BONEKA HIDUP
Perjalanan yang memakan masa hanya 45 minit itu, dirasakannya berjam-jam. Sewaktu dia bersedia untuk menyampaikan hujah-hujah yang dikiranya bernas, saat itu jugalah dirasakan begitu lambat sekali bumi ini berputar. Sukar baginya menyatakan hal itu semasa menerima panggilan telefon dari ibunya. Segalan percakapan dari ibunya didengar tanpa kemahuannya. Tanpa keinginannya. Sebab itulah dia mengambil langkahini. Dia perlu segera pulang. Dia akan menyatakan segala-galanya pada ibunya. Biar orang tua itu faham kedudukannya. Biar satu dunia mengecamnya. Mungkin saat ini dia akan digelar anak yang derhaka, namun pada Shazmira kali ini dia perlu menentukan sendiri masa depannya.
Selama ini pun, tidak pernah dia mengengkari kehendak ibu bapanya. Tak pernah walau sekelumit pun rasa kesal timbul dihatinya setiap kali keinginannya diletak ketepi kerana menuruti perintah orang tuanya. Dia tahu, selagi ada hayatnya, dia belum mampu membalas segala jasa-jasa ibu dan ayahnya. Bukan dia tidak mengerti semua itu, cuma kali ini, buat kali yang pertama dan terakhir, biarlah dia sendiri menentukan apa yang sepatutnya berlaku dalam hidupnya.
Dia tidak sanggup menerima kenyataan andai keputusan yang telah dibuat itu, tidak dapat ditarik balik. Hatinya teruk dihenyak kebuntuan. Tak dapat dibayangkan gambaran yang mungkin menjelma seandainya semua itu menjadi sebagaimana yang dirancang. Padanya, perancangan manusiaini masih boleh diubah kerana kita tidak mengetahui apa pula perancangan Allah. Shazmira masih terus berhujah sendiri. Kadangkala, dahinya dikerutkan demi memikirkan perbahasan yang bakal terjadi. Semua ini terlalu asing baginya. Dia tidak biasa meninggikan suara kepada ibunya, apatah lagi menidakkan segala pertuturan insan mulia itu. Namun, Ah! Yang pentingnya, matlamat perlu disampaikan. Moga-moga tidak berlaku sebarang kekecohan. Pintanya didalam hati.
Panggilan telefon yang diterimanya lewat malam semalam benar-benar mematikan langkahnya. Panggilan itu bukan panggilan biasa. Padanya ia merupakan panggilan yang meretakkan hatinya, menghancurkan harapannya, membunuh impiannya. Tak tahu bagaimana lagi harus diterangkan kepada orang tuanya. Bukannya mereka tidak tahu, malah mereka lebih arif akan kehendaknya. Tetapi…Shazmira semakin bungkam. Tak dapat dibayangkan saat-saat bahagia yang dinantikan itu akan dirampas dari hidupnya. Dan dia nekad, tidak akan membenarkan segala-galanya terjadi.
“Is, maafkan Ira, Is” Shazmira seakan berbisik kepada dirinya sendiri. Biarpun lelaki itu belum lagi mengetahui berita yang bakal membebankan perasaan mereka, namun Shazmira sudah mula mengesan kegagalannya memujuk kedua orang tuanya. Sungguh dia tidak mengerti, bukan baru setahun dua perhubungannya dijalinkan dengan Iskandar. Bukan juga sekali dua dia membawa Is berjumpa orang tuanya, malah dapat dilihatnya keakraban mereka. Tetapi, mengapa ibunya masih tidak boleh membaca isi hatinya? Terlalu kurangkah usaha yang ditunjukkannya untuk bersama-sama menuju mahligai bahagia dengan Iskandar? Shazmira tenggelam dalam seribu persoalan yang timbul.
Akhirnya, bagai yang telah dijanjikan, Shazmira tiba ke destinasinya. Lemah langkahnya diatur untuk sampai ke rumahnya. Wajahnya yang sugul menampakkan ketidaksungguhan hatinya menerima berita semalam. Ada tugas yang belum selesai, ada bahas yang belum tertunai.
“Eh, kenapa muram aje nih? Orang nak jadi raja sehari, tak boleh masam-masam” usikan dair kakaknya umpama letusan peluru yang dihalakan menghentam gegendang telinganya. Tidak diendahkannya usikan itu, malah sempat juga dijeling tajam kakak kesayangannya itu. Selepas bersalaman dengan ibu, ayah dan adik-beradiknya yang lain, Shazmira melepaskan penat berjalan jauh di dalam bilik. Dicubanya mengumpul kekuatan untuk menyampaikan hujah yang terpendam dalam sanubarinya. Perhitungan perlu dibuat. Dia tidak mahu kepulangan mengejutnya ini menjadi sia-sia. Penat dia memujuk Zarina, raah sepejabat merangkap roomatenya untuk memberikan pelbagai alasan atas ketidakhadirannya ke pejabat hari itu. Dia tahu banyak risiko mengambil cuti tanpa notis. Tapi, berlandaskan kecemasan di kampung, dia pulang juga. Memang ada kecemasan. Cemas dalam mencari jawapan bagi segala persoalan, dan atas kecemasan hatinya itu, dipaksanya untuk pulang.
“Ibu, ayah, boleh Ira cakap sedikit?” soalnya meminta izin.
Dalam ketidak sedaran itu, Shazmira sudah berada dihadapan orang tuanya yang seakan memahami dan menanti kedatangannya menjulang sembah. Suasana menjadi sepi seketika. Shazmira berkira-kira untuk memulakan bicara. Dia cuba mengatur ayat agar tidak menyinggung perasaan orang tuanya.
“Ira tahu Ira akan dimarahi, tetapi Ira rasa, Ira layak menentukan masa depan Ira sendiri” ujarnya. Namun begitu, oleh kerana tiada jawapan yang diterimanya, dia meneruskan hujahnya.
“Ibu dan ayan bukan tak tahu, Ira dan Is..”
“Kau nak tunggu budak tu lagi?” kata-kata Shazmira dipotong keras oleh ayahnya.
“Ibu dan ayah lakukan semua ini untuk Ira. Semakin hari kau tu semakin berumur, tak elok kalau ibu dan ayah simpan anak perempuan. Lambat laun, ditinggalkan juga” sambung ibunya pula, lembut.
Shazmira mati akal. Belum pun sempat dia memulakan hujahnya, bertubi-tubi bahas orang tuanya diterima. Tapi, demi kasih sayangnya yang bersemi, Shazmira teruskan juga. Dia belum mahu tewas lagi. Dia belum mahu menyerah kalah lagi.
“Ibu dan ayah tak mahu lihat Ira bahagia ke?” soalnya ringkas. Harapannya masih menebal untuk memenangi hati ibu dan ayahnya.
“Kalau kau kawin, tentu kau bahagia” jawab ayahnya, ringkas dan padat. Lantas ayahnya terus bingkas bangun meninggalkan Shazmira dan ibunya untuk meneruskan perbincangan. Panas hatinya tidak dapat dibendung lagi. Sungguh tidak disangka, anak perempuannya yang ini agak degil. Mungkin mengikut perangainya sendiri, dia terus berteka sendiri.
“Ibu, tolonglah Ira, Ira tak mahu dijodohkan dengan lelaki yang bukan pilihan hati Ira, tolonglah bu” akhirnya Shazmira akui kekalahannya. Ibunya memandang dengan seribu rasa yang bercampur aduk. Nak diturutkan bentak suaminya, anaknya sengsara. Hendak diikutkan rayu tangis anaknya, entah sampai bila. Lama ibunya termenung.
“Beginilah Ira, rombongan Haji Leman tu, baru bertanya dan ayah kau belum beri kata putus lagi. Kalau Iskandar boleh datang dengan keluarganya hujung minggi ini, ibu harap ayah kau belum terlambat dan moga-moga kau masih ada peluang, nak” kata-kata lembut yang keluar dari mulut ibunya bagaikan hikmat dari Tuhan yang ibsa merubah perancangan manusia ini. Shazmira menangis dalam tawa. Biarpun kegembiraan itu belum menjanjikan kebahagiaan, dia akan berusaha untuk itu. Dan dia pasti kali ini,kejayaan miliknya abadi.
Sengaja diambilnya bas seawal pagi itu. Dia perlu sampai terus ke tempat kerja. Sudah sehari dia bercuti, takkan hendak ponteng lagi. Bukannya susah untuk ponteng kerja, tetapi punch kadnya tidak akan bertanda, kerjanya akan bertambah dan yang paling penting, gajinya tidak mungkin secukup bulan-bulan sebelumnya. Lagipun, ada tugas yang perlu diselesaikan. Ada amanat yang perlu disampaikan. Selepas waktu kerja, dia perlu bertemu dengan Is. Segalanya perlu diterangkan pada Is. Biar dia faham. Biar dia mengerti, kerana selepas ini, tugas meneruskan usaha menyatukan kehidupan mereka berdua harus diserahkan kepada bakal ketua keluarga. Tentulah Iskandar orangnya.
“Apa? Dalam seminggu saja Ira nak suruh Is buat semua tu? Is tak boleh buat macam tu, tak boleh” suara Iskandar memecah kesunyian setelah Shazmira menyuarakan apa yang sepatutnya diberitahu awal-awal lagi.
“Kenapa tidak? Apa yang Is merepek ni?” Shazmira berusaha meminta kepastian.
“Is belum bersedia untuk semua ini, Ira pun tahu, kita bukan nak hidup bersama untuk sehari dua, Is tahu tanggungjawab yang bakal Is pegang nantiberat dan Is belum bersedia dari segi material dan mental. Is belum bersedia, Ira”, jelas Iskandar.
Terpampan Shazmira dibuatnya. Kalau Iskandar setakat menyatakan bahawa dia belum bersedia dari segi kewangan, sudah pasti dengan rela hati Shazmira mengeluarkan semua simpanannya. Tapi, Iskandar bukan sahaja tidak yakin dari segi material, malahan mental. Ini bermakna, selama perkenalan mereka yang memakan masa hampir 6 tahun ini, tidak menjuruskan pemikiran Iskandar untuk berumahtangga.
Tanpa menunggu lebih lama, Shazmira mengangkat kaki. Biarpun penat Iskandar memanggilnya, namun pada Shazmira, hatinya lebih penat. Penat dipermainan begitu. Penat mengumpul angan-angan. Penat melawan rindu. Penat segala-galanya. Cuba juga dipujuk hatinya yang kian membengkak, tetapi gagal. Sungguh tidak disangka, Iskandar tidak pernah memikirkan masa depan perhubungan mereka. Iskandar tidak cuba untuk merealisasikan kehidupan indah bersamanya. Jadi, berlandaskan apakah pula perhubungan ini dijalinkan? Matlamat apa pula yang perlu dicapai?Shazmira bersoal sendiri.
Dia meneruskan perjalanannya tanpa arah tujuan. Segala apa yang dipandangnya serasa tidak mendatangkan apa-apa makna. Iskandar tidak lagi mengejarnya. Ah! Persetankan lelaki itu. Untuk apa menjalin kasih andai tidak dikasihi. Buat apa menganyam sayang jika tidak disayangi. Selama 6 tahun ini, baru sekarang terbuka mata Shazmira bahawa dia hanyalah boneka. Boneka yang digunakan Iskandar untuk mengisi masa luangnya. Berlinangan air mata dipipinya. Menitis laju, satu persatu.
Malam itu, tanpa berfikir panjang, bersama hati yang retak, dengan sisa kudrat yang tertinggal, dia membuat panggilan kepada ibunya di kampung. Biarpun dia tidak ikhlas dalam memberi kata putus itu, tetapi padanya, adalah lebih baik menyerahkan hak sebagai isteri kepada orang yang menghargai dirinya daripada menanti sesuatu yang tidak pasti. Sesuatu yang kian dibenci, biarpun ianya pernah bertahta di hati.
Ibunya yang seakan memahami keretakkan hati anaknya, mengambil langkah mendiamkan diri. Dia tahu ada sesuatu berlaku dalam perhubungan anaknya. Jika tidak, mana mungkin anak gadisnya itu dapat menerima peminangan itu. Bukankah semalam Shazmira yang bersungguh-sungguh memintanya agar membuka jalan untuk menolak peminangan itu, tapi kini.. ah! Yang penting, anaknya itu sudah mahu berumahtangga. Umurnya juga sudah lanjut. Lama mana lagi haru ditunggu? Lama mana lagi harus dinanti? Semoga kebahagiaan milikmu, nak, walaupun bukan dengan pilihan hatimu.
Dalam pada itu, hanya Shazmira mengetahui betapa hancur luluh hati sanubarinya. Pedihnya bagai ditusuk sembilu tatkala terdengar olehnya segala perancangan yang dibuat oleh orang tuanya. Mereka mahu majlis dilangsungkan secepat mungkin. Takut juga kalau-kalau anak yang seorang ini buat hal lagi. Kalau tiba-tiba ditolaknya pula lamaran ini, mama mereka nak letak muka? Bersaudara dengan Haji Leman menjadi idaman kepada setiap penduduk di kampung itu. Walaupun ibu dan ayahnya yakin Shazmira tidak akan mengengkari mereka lagi, tetapi, darah muda, siapa yang tahu?. Hanya doa yang mampu dipanjatkan agar segalanya berjalan dengan lancar.
Hujung minggu itu, sewaktu Shazmira bersantai bersendirian di biliknya, dia menerima suatu panggilan telefon.
“Dari kampung,” bisik Zarina. Terdengar suara ibunya di hujung corong telefon.
“Ira, apa dah jadi ni?” soal ibunya.
“Kenapa bu?”, Shazmira meminta kepastian.
“Kenapa datang rombongan dari Iskandar menanyakan tentang Ira?” sambung ibunya.
Terpampan Shazmira dibuatnya. Nama itu hadir lagi dalam hidupnya. Dia kaget seketika. Apa yang harus dijawab. Lantas diminta ibunya memberikan ganggang telefon kepada Iskandar yang masih berada dirumahnya.
“Hello, Is, apa Is buat kat situ?” soalnya setelah Iskandar menjawab panggilannya.
“Ira, Is sayangkan Ira, kenapa Ira sanggup terima lamaran itu? Is datang sebagaimana yang Ira cakap hari itu, hujung minggu Is kena datang bersama keluarga Is, kan?”, ujar Iskandar, panjang. Terdiam Shazmira. Dia tak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Iskandar apa yang telah terjadi.
“Tolonglah Ira, berilah Is peluang kali ini. Is menyesal atas apa yang Is cakapkan dulu. Waktu itu, Is tidak memikirkan langsung soal perasaan Ira. Masa tu,Is takut nak pegang tanggungjawab. Tapi, bila Is fikirkan semula, Is tahu Is tak mungkin dapat cari pengganti Ira. Biarlah Is tak bersedia, tapi Is tahu Ira pasti memberi Is peluang untuk menyediakan diri ini,” Iskandar cuba memujuk kekasih hatinya yang masih diperlukan.
“Maafkan Ira, Is. Ira tak sanggup lagi jadi boneka Is” Tup! Terus diletakkannya ganggang. Tidak mahu rasanya mendengar apa-apa berita tentang lelaki itu. Usah lagi diganggu hidupnya yang baru cuba untuk melupakan kisah suka duka bersama Iskandar. Dia sudah jelak. Dia sudah muak.
Dikesatnya air mata yang mengalir. Untuk apa lagi menangisi kedukaan yang ditimbulkan oleh lelaki itu. Untuk apa lagi mengenang kekasih yang telah mendera hatinya tanpa belas ehsan. Tapi, dapatkah dia melupakannya. Jauh disudut hati, sukar baginya melupakan insan yang telah lama menjadi raja hidupnya, menjadi cinta utamanya.
Uncategorized | Comment (0)